



SEPERTI MELEPASKAN BATOK DI TANGGA
Suatu hari semasa suatu majlis penutupan suatu kursus di KL. Pengendali kursus menyuarakan ketidakfahaman orang tentang peribahasa "Seperti melepaskan batuk di tangga"
Agaknya kalau orang tu batuk kat tangga maknanya dia buat kerja batuk tu sambil lewa la. Sepatutnya dia kenalah batuk kat dalam rumah ke kat hospital ke baru betul.” Kata-katanya itu membuatkan kami ketawa. Lantas aku terfikir untuk menulis tentang perkara ini.
Apakah ‘batuk’ yang dimaksudkan dalam peribahasa ‘seperti melepaskan batuk di tangga’ sebenarnya? Kamus Dewan edisi keempat telah meletakkan peribahasa ini dibawah kata ‘batuk’ bagi menerangkan maksud ‘batuk’ iaitu dalam definisi ketiga yang membawa maksud penyakit (keadaan) yang menyebabkan seseorang kerap batuk atau batuk berulang-ulang. Setahu aku, perkataan ‘batuk’ juga digunakan untuk merujuk kepada tempurung kelapa yang digunakan secara tradisi untuk menceduk air dari tempayan bagi membasuh kaki. Aku masih ingat lagi sewaktu kecil dahulu sekali sekala aku berkunjung ku rumah tradisional arawah datukku di Kg. Tanjung. Pernah sekali datukku menyuruhku meletakkan batuk di atas pancang kayu berhampiran tempayan dan bukannya di atas tangga. Dari peristiwa itu aku seringkali terfikirkan perkataan ‘batuk’ di dalam peribahasa ‘seperti melepaskan batuk di tangga’ itu merujuk kepada batuk (tempurung kelapa) dan bukannya batuk penyakit. Kerana batuk tempurung kelapa seharusnya diletakkan di atas pancang kayu dan bukannya di atas tangga. Sebab itulah mereka yang meletakkan atau melepaskan batuk di atas tangga diaanggap melakukan sesuatu dengan tidak bersungguh-sungguh. Secara logiknya tak kanlah hanya kerana kita batuk di tangga maka kita dikatakan melakukan sesuatu dengan tidak bersungguh-sungguh.
Sebagai contoh, sekali lagi mari kita merujuk kepada Kamus Dewan Edisi keempat di bawah kata ‘batok’. Perkataan ‘batok’ membawa maksud tempurung di dalam bahasa Jawa. Ejaan Rumi lama untuk perkataan ‘batuk’ adalah ‘batok’. (Sila rujuk kamus Dewan edisi pertama). Oleh itu aku mempunyai teori bahawa ‘batuk’ yang dimaksudkan dalam peribahasa ini adalah ‘batok’tempurung kelapa dan bukannya ‘batuk’ penyakit. Bijak pandai di dalam bidang bahasa dan sejarah diharap dapat membuat kajian dalam perkara ini. Apa pula pendapat anda?
TERIMA KASIH
TERATAK KASIH SABRIINA 1